Tuesday, January 29, 2008

Wajib berhijrah jika diri terancam


Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Mekah, tetapi hijrah yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.

Bagaimanapun, hijrah itu dituntut jika manusia berhadapan dengan beberapa keadaan. Ini termasuklah berhijrah untuk memperbaiki kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ABDUL NAZIR MOHAMED menemu bual Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Selangor, Aluwi Parman bagi membahaskan isu ini.

Mega: Apakah konsep hijrah yang masih perlu dilakukan oleh umat Islam?

ALUWI: Walaupun hijrah sebagaimana Rasulullah s.a.w. sudah tidak ada namun ada masanya kita wajib berhijrah terutama dalam usaha menyelamatkan iman dan Islam.

Hijrah masih wajib dalam keadaan di mana makin lama kita duduk di suatu tempat itu kita makin terganggu untuk beribadat, berhadapan dengan tentangan daripada jiran-jiran atau semakin susah hidup kita.

Kalau berterusan kita duduk di kawasan tersebut, dibimbangi persekitarannya akan merosakkan iman dan menjejaskan ketakwaan kita dan keluarga kepada Allah.

Dalam keadaan biasa, hijrah atau berpindah tempat itu hukumnya harus. Jangan kita bimbang berhijrah ke tempat baru jika ia sudah mencapai tahap wajib pindah.

Hayatilah firman Allah: Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang di tuju maka telah tetap pahala di sisi Allah dan adalah Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang. (an-Nisa’: 100)

Apakah pula konsep jihad dalam aspek kekeluargaan?

ALUWI: Dalam hidup berumahtangga misalnya, jihadnya adalah bagaimana mahu membina keluarga supaya ia menjadi yang terbaik. Seterusnya merealisasikan slogan ‘rumahku syurgaku’.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal (mendapat ketenangan di dalamnya). (an-Nahl: 80)

Namun, kebahagiaan atau sebaliknya amat bergantung kepada persediaan pasangan itu dalam bekerjasama mewujudkan keharmonian dan persefahaman sesama mereka.

Konsep ketakwaan kepada Allah s.w.t. harus dititikberatkan dalam setiap ahli keluarga iaitu taat segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah s.w.t. Sembahyang lima waktu contohnya, tidak seharusnya diabaikan oleh setiap ahli keluarga.

Apakah antara ramuan membina ‘rumahku syurgaku’ ini?

ALUWI: Terdapat beberapa ramuan ke arah mencapai ‘rumahku syurgaku’. Asas paling penting ialah sewaktu proses pemilihan calon suami. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang antara lain maksudnya, apabila datang kepada kamu orang yang betul-betul kamu berkenan (untuk dijadikan menantu) dari segi agama dan akhlaknya hendaklah kamu terima. Jika tidak ia akan menjadi fitnah.

Islam menekankan aspek peribadi calon suami iaitu mestilah beriman selain melihat kepada rupa paras, keturunan dan hartanya.

Hal ini ditekankan kerana suami adalah ketua keluarga. Malah Allah turut menjelaskan tanggungjawab ini menerusi firman-Nya: Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah belanjakan sebahagian dari harta benda mereka. (an-Nisa’: 34)

Ciri kedua ialah saling memahami dan bantu-membantu baik dalam urusan dunia mahupun akhirat. Ini juga adalah antara inti pati permohonan Nabi Allah sewaktu bermunajat kepada Allah.

Yang ketiga ialah kesefahaman (taffahum). Bagi saya, pasangan suami isteri hendaklah menjadikan kelainan pada ciri pasangan itu sebagai keserasian. Jangan jadikan ia faktor bertentangan.

Keempat, bergaul dengan elok dengan isteri dan juga kaum keluarga termasuk mertua. Ini termasuklah menjaga tingkah laku, sopan santun dan adab bercakap.

Keamanan dan kesejahteraan dalam sesebuah keluarga adalah amat penting bagi mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni, bahagia dan cemerlang. Setiap ahli keluarga hendaklah melaksanakan hak masing-masing dengan sempurna.

Suami mempunyai hak ke atas isteri dan anak-anak dan demikian jugalah sebaliknya. Jika setiap anggota keluarga tahu melaksanakan hak mereka maka akan wujud keharmonian dan kecemerlangan di dalam keluarga mereka.

Kelima, tumpu dan curahkan 100 peratus kasih sayang kepada pasangan masing-masing. Adalah tugas dan tanggungjawab suami isteri mendokong dan menghayati konsep al-Mawaddah dan al-Rahmah.

Ini dijelaskan oleh firman Allah: Antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t ia mencipta untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang (Al-Mawaddah) dan belas kasihan (Al-Rahmah), sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda orang-orang yang berfikir. (al-Rum: 21)

Dari segi mendidik anak-anak masa kini, apakah pendekatan yang perlu digunakan?

ALUWI: Saidina Umar al-Khattab ada berpesan, didiklah anak kamu mengikut zamannya. Dengan kata lain, jangan didik anak sekarang berdasarkan zaman kita kecil dahulu.

Dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekarang, ibu bapa perlu kepada kemahiran mendidik anak dan kepentingan menuntut ilmu. Mereka perlu tahu tentang komputer, Internet, teknologi digital dan sebagainya.

Namun, semua kemajuan dan teknologi itu perlu mempunyai hubungan dengan Allah. Contohnya, jangan disebabkan asyik dengan permainan atau melayari Internet kita lupa solat. Atau kita melayari laman-laman web lucah dan sebagainya.

Anak-anak perlu diterapkan dengan konsep ihsan iaitu seolah-olah kita melihat Allah atau sekurang-kurangnya meyakini bahawa kita sentiasa dalam pemerhatian Allah.

Dulu anak-anak tidak membantah dan menurut sahaja cakap ibu bapa tanpa banyak soal. Tetapi sekarang ibu bapa kena memberi sebab atau justifikasi supaya dapat membuka minda anak-anak.

Contohnya, dalam bab taabudiah (pematuhan) seperti mengapa Islam haramkan arak, khinzir dan sebagainya tentu ada sebab serta hujah mengapa ia diharamkan.

Bagaimanapun, dalam soal ketentuan seperti alam roh dan haid, kita kena patuh sahaja. Jangan dipersoalkan.

Dalam masyarakat Melayu ada bidalan ‘bapa borek anak rintik’. Bagaimana Islam melihat hal ini?

ALUWI: Ketepatan bidalan ini barangkali hanya kebetulan dan boleh dipertikaikan. Sebabnya bab iman ini bukan boleh diperturunkan daripada ayah kepada anak. Watak mungkin boleh dikaitkan. Ilmu dan iman ini perlu kepada pendidikan.

Oleh itu, bidalan sedemikian tidak boleh diterima sebab Islam melihat kepada iman dan amalan pada diri seseorang.

Selain dakwah bil lisan (percakapan) Islam menekankan kepada dakwah bil hal (perbuatan atau menunjukkan contoh). Namun, tidak semestinya ibu bapa yang soleh akan beroleh anak yang soleh walaupun logik akalnya kata begitu.

Demikian juga jika bapa itu terlibat dalam maksiat dan lain-lain kejahatan, tidak semestinya anaknya juga sedemikian.

Apa yang penting, kita hendaklah berusaha menjadi Muslim mukmin iaitu orang yang beriman dan beramal dengan ilmu fardu ain dan fardu kifayah.

Jangan kita terus terperangkap dengan rasa ego sehingga malu untuk mengakui kejahilan kita dalam hukum- hakam agama. Jangan kita terlalu mengejar dunia sehingga mengabaikan kehidupan yang abadi di akhirat sehingga mengabaikan hak dengan masjid, adik-beradik dan sebagainya.


Salam Semua.. he he he ada gaya jadi USTAZ dak... saje je nak kasi TAZKIRAH sikit.. bukan apa aku tengok tajuk nie macam sesuai jaa...jadi aku ambik la buat baca sama2 kat sini.... HIJRAH.. keyword dia kira SEO level tahap tertinggi la nie... banyak yg boleh hijrah.. apa yg dirasakan terancam anda HIJRAH.. cth..

  • MISKIN => KAYA
  • MALAS => RAJIN
  • JAHAT => BAIK
  • BODOH => CERDIK
  • NEGARA PERABIH DUIT => NEGARA BERKEBAJIKAN..... he he hangpa tau kot yg nie..



0 comments:

Related Posts with Thumbnails